10 Perkara Penting Tentang Cukai Pendapatan Di Malaysia

By: loanexpress0 comments

Di Malaysia, sistem taksiran sendiri digunakan untuk mengira cukai pendapatan yang perlu dibayar.

Dalam sistem taksiran sendiri ini, setiap orang yang memenuhi syarat perlu menyerahkan borang taksiran secara atas talian melalui sistem e-filing kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

Apa yang perlu diisytiharkan dalam borang taksiran tersebut adalah semua pendapatan bercukai, potongan cukai, pelepasan cukai dan rebat cukai yang diperoleh pada tahun sebelumnya.

Selepas semuanya diisytiharkan, pengiraan untuk cukai pendapatan akan dijana secara automatik

Tempoh serahan borang dan pembayaran cukai bermula pada 1 Mac dan berakhir pada 30 April atau 30 Jun bergantung kepada jenis pendapatan yang diperoleh, dan taksiran dilakukan untuk tahun sebelumnya (taksiran tahun 2016 dilakukan pada tahun 2017, taksiran tahun 2017 dilakukan pada tahun 2018)

Bagi yang baru mula bekerja atau baru memenuhi syarat dikenakan cukai pendapatan, perlu membuka fail dengan LHDN terlebih dahulu dengan mendaftar di e-daftar.

Selepas memuat naik salinan kad pengenalan dan disahkan LHDN, pemohon akan diberikan nombor PIN untuk akses ke sistem e-filing.

Untuk langkah-langkah cara isi e-filing, boleh klik di sini: Panduan Lengkap Cara Isi e-Filing

Untuk lebih memahami berkenaan cukai pendapatan, 10 perkara yang berikut perlu diketahui:

1. Pendapatan Bercukai

Pendapatan bercukai adalah jumlah pendapatan tahunan individu yang layak dikenakan cukai.

Jumlah cukai yang perlu dibayar akan dikira ke atas pendapatan bercukai sahaja.

Buat masa sekarang (sehingga tahun taksiran 2017), had pendapatan bercukai minimum (atau gaji minimum dikenakan cukai pendapatan) adalah RM 34,000/tahun atau RM 2,834/bulan (selepas pemotongan KWSP), jadi mereka yang mencapai jumlah pendapatan tahunan tersebut perlu membuka fail dan menyerahkan borang taksiran kepada LHDN.

Pendapatan bercukai dikira dengan  menjumlahkan semua pendapatan yang diperoleh (gaji, dividen, hasil sewaan, royalti, ganjaran, hadiah) tolak pengecualian cukai, pelepasan cukai yang dibenarkan dan potongan cukai.

  • pendapatan bercukai = jumlah pendapatan – pengecualian cukai – pelepasan cukai – potongan cukai

2. Pengecualian Cukai

Bertuahnya di Malaysia, bukan semua jenis pendapatan adalah pendapatan bercukai ataupun dikenakan cukai.

Terdapat beberapa jenis pendapatan yang dikecualikan cukai, antaranya termasuklah kemudahan perjalanan, manfaat kesihatan dan perubatan, bayaran gratuiti, pampasan, pencen, biasiswa, bayaran persembahan kebudayaan, faedah, dividen, royalti, bayaran kepakaran, pendapatan hasil kajian saintifik dan elaun perjalanan.

Namun, jumlah atau kadar pengecualian adalah berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

3. Potongan Cukai

Derma dan hadiah yang diberikan kepada badan-badan yang diiktiraf kerajaan dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan adalah dibenarkan potongan daripada pendapatan bercukai.

Buat masa sekarang, kadar potongan adalah 7% daripada jumlah pendapatan bercukai.

Contohnya, pendapatan bercukai tahunan adalah RM 55,000 dan jumlah derma/hadiah yang disahkan adalah RM 2,500.

Maka, potongan cukai adalah sebanyak RM 3,850 (RM 55,000 x 7%), menjadikan jumlah pendapatan bercukai sebanyak RM 51,150 (RM 55,000 – RM 3,850)Baca juga:  Strategi Pelaburan Hartanah Untuk Pelabur Baru

4. Pelepasan Cukai

Pelepasan cukai merujuk kepada perbelanjaan-perbelanjaan atau perkara-perkara yang dibenarkan untuk ditolak daripada jumlah pendapatan tahunan supaya dapat mengurangkan pendapatan bercukai.

Jenis perbelanjaan/perkara dan jumlah pelepasan adalah bergantung kepada dasar dan polisi yang ditetapkan LHDN; ada yang kekal dan ada yang berubah setiap tahun.

Pelepasan cukai diberikan kebiasaannya untuk menggalakkan perbelanjaan-perbelanjaan tertentu (seperti membeli buku dan peralatan sukan) dan mengurangkan beban-beban kewangan yang ditanggung (seperti alimoni kepada pasangan, perbelanjaan perubatan ibubapa, yuran pendidikan)

Pelepasan cukai boleh mengurangkan pendapatan bercukai dan seterusnya mengurangkan kadar cukai yang dikenakan.

Contohnya, bagi yang berpendapatan bercukai RM 84,300, kadar cukai adalah 10% jika langsung tiada pelepasan cukai.

Tetapi, jika dikira pelepasan cukai individu (RM 9,000), caruman KWSP (RM 6,000) dan caruman takaful perubatan (RM 2,000), jumlah pendapatan bercukai sekarang adalah RM 67,300 yang mana kadar cukainya adalah 7% sahaja.

*Untuk senarai pelepasan cukai untuk digunakan semasa mengisi e-Filing bermula 01 Mac 2019, klik di sini: Senarai Pelepasan Cukai Pendapatan 2018 Untuk e-Filing 2019

Contoh pengiraan pendapatan bercukai

Setelah mengisytiharkan semua pendapatan tahunan, pengecualian, potongan dan pelepasan cukai, maka pengiraan jumlah pendapatan bercukai boleh dilakukan.

Sebagai contoh, jumlah semua pendapatan tahunan Ali adalah RM 84,300 (gaji = RM 60,000; dividen ASB = RM 1,700; dividen Tabung Haji = RM 1,000; kerja lebih masa = RM 12,000 & hasil sewaan = RM 9,600)  *dividen ASB dan TH adalah pendapatan dikecualikan cukai

Ali juga mempunyai pelepasan individu (RM 9,000), caruman KWSP (RM 6,000) dan takaful perubatan (RM 2,000) sebagai pelepasan cukai.

Jadi, pendapatan bercukai Ali adalah:

pendapatan bercukai = pendapatan tahunan – pengecualian cukai – pelepasan cukai = RM 84,300 – RM 1,700 (ASB) – RM 1,000 (TH) – RM 9,000 (individu)  – RM 6,000 (KWSP) – RM 2,000 (takaful) = RM 64,600

Ali juga ada membuat derma kepada badan-badan diiktiraf sebanyak RM 5,000, maka beliau layak menerima potongan cukai.

Maka, potongan cukai adalah sebanyak RM 4,522 (RM 64,600 x 7%), menjadikan jumlah pendapatan bercukai Ali adalah sebanyak RM 60,078 (RM 64,600 – RM 4,522)

5. Kadar Cukai

Kadar cukai adalah ditetapkan oleh kerajaan, dan sebarang perubahan kebiasaannya diumumkan semasa pembentangan bajet negara pada Oktober setiap tahun.

Untuk tahun taksiran 2016 dan 2017, kadar cukai adalah seperti pada gambarajah (klik pada gambar untuk lebih jelas):

Dapat dilihat bahawa kadar cukai adalah berkadar langsung dengan jumlah pendapatan bercukai; semakin tinggi jumlah pendapatan bercukai, semakin tinggi kadar cukai dan seterusnya semakin tinggi jumlah cukai perlu bayar.

Jadi, untuk mengurangkan jumlah cukai kena bayar, strateginya adalah dengan menggunakan semaksimumnya pelepasan dan potongan cukai.

Contoh pengiraan cukai pendapatan:

Untuk contoh kes Ali di atas, dengan pendapatan bercukai RM 60,078 (RM 50,000 + RM 10,078)

jumlah cukai = RM 2,400 (untuk RM 50,000 pertama) + RM 1,612.48 (16% x RM 10,078) = RM 4,012.48

6. Rebat Cukai

Rebat cukai adalah keistimewaan yang diberikan untuk mengurangkan jumlah cukai perlu bayar, dan jumlahnya ditolak terus dari jumlah cukai perlu bayar, bukannya daripada jumlah pendapatan bercukai.

Hanya dua sahaja rebat cukai yang diberikan; yang pertama adalah rebat suami/isteri (RM 400) bagi individu yang mempunyai pendapatan bercukai kurang RM 35,000 dan yang kedua adalah bayaran fitrah/zakat (mengikut jumlah yang dikeluarkan)

Dengan adanya rebat untuk fitrah/zakat, maka rakyat Malaysia yang beragama Islam tidak perlu mengeluarkan dua kali bayaran berasingan untuk penyucian harta.

Dalam contoh Ali di atas, sekiranya beliau membayar zakat pendapatan sebanyak RM 1,200/tahun, maka beliau layak mendapat rebat cukai sebanyak RM 1,200

Maka jumlah cukai yang perlu dibayar adalah RM 2,812.46 (RM 4,012.46 – RM 1,200)

7. Potongan Cukai Berjadual (PCB)

Potongan Cukai Berjadual (PCB) adalah keadaan di mana majikan memotong sebahagian pendapatan pekerja yang mana potongan ini adalah untuk cukai pendapatan tahun semasa.

Jumlah potongan adalah berdasarkan kepada data peribadi pekerja dan jadual pemotongan yang dikeluarkan oleh LHDN.

Walaupun telah ada PCB, pekerja masih tetap perlu menyerahkan borang taksiran kepada LHDN melalui e-filing kerana perlu mengisytiharkan pendapatan lain, potongan, pelepasan dan rebat cukai yang ada.

PCB membantu untuk mengurangkan beban membayar cukai yang dikenakan secara sekaligus.

Sebagai contoh kes Ali di atas, sekiranya majikan beliau membuat PCB sebanyak RM 50/bulan, maka jumlah PCB setahun Ali adalah RM 600.

Maka, jumlah cukai yang perlu dibayar adalah RM 2,212.46 (RM 2,812.46 – RM 600)Baca juga:  6 Langkah Mudah Rancang Pelan Persaraan

8. Cara Bayar Cukai Pendapatan

Berikut merupakan beberapa cara untuk membayar cukai pendapatan:

i. Perkhidmatan FPX (Financial Process Exchange) melalui ByrHasil (https://byrhasil.hasil.gov.my/)

ii. Kad kredit/debit melalui ByrHasil (https://byrhasil.hasil.gov.my/)

iii. Kaunter agen-agen LHDN seperti Maybank, CIMB, Pos Malaysia

iv. Perbankan internet seperti Maybank2u, CIMB Clicks, MyBSN

v. Mesin-mesin ATM Public Bank, Maybank dan CIMB yang terpilih

vi. Tele-banking melalui telefon ke Maybank Berhad – Kawanku Phone Banking (1-300-88-6688)

vii. Mesin Deposit Cek di Public Bank terpilih

Bagi mereka yang berada di luar negara, boleh menggunakan kemudahan Telegraphic Transfer (TT)/Transfer Interbank Giro (IBG)/Electronic Fund Transfer (EFT) dan juga bank draft.

Bagi mereka yang tidak mampu membayar secara sekaligus, boleh memohon untuk membayar secara ansuran.

Syaratnya, perlu menghantar surat permohonan kepada LHDN sebelum 30 April.

Jika tidak berjaya membayar cukai pendapatan yang dikenakan sebelum tarikh yang ditetapkan, maka penalti lewat bayar akan dikenakan.

Penaltinya adalah 10% daripada baki jumlah yang tidak dibayar dan jika bayaran masih belum diterima sehingga 60 hari, tambahan 5% akan dikenakan.

Contohnya, lewat bayar cukai sebanyak RM 700.

Penalti pertama adalah RM 70 (10% x RM 700), menjadikan jumlah perlu bayar adalah RM 770.

Jika masih belum bayar sehingga 60 hari, maka tambahan penalti adalah RM 38.50 (5% x RM 770), menjadikan jumlah perlu bayar adalah RM 808.50

Walaubagaimanapun, rayuan masih boleh dilakukan untuk mengurangkan penalti yang dikenakan dengan menghantar surat rayuan dalam masa 30 hari notis penalti dikeluarkan.

9. Bayaran Balik Cukai Pendapatan

Berlaku juga situasi yang mana LHDN perlu membuat bayaran balik cukai pendapatan kerana jumlah cukai yang dikutip melalui PCB melebihi jumlah cukai perlu bayar.

Contohnya dalam situasi Ali di atas, katakanlah PCB yang dibuat adalah RM 300/bulan, maka jumlah PCB adalah RM 3,600 sedangkan jumlah cukai perlu bayar hanyalah RM 2,812.46.

Maka terdapat lebihan sebanyak RM 787.54

Lebihan ini akan dipulangkan oleh LHDN ke akaun yang diberikan oleh Ali semasa mengisi borang taksiran, atau melalui baucer khas yang boleh ditunaikan di CIMB atau CIMB Islamic sahaja.

10. Tanggungjawab Individu

Selain menyerahkan borang taksiran dan membayar cukai yang dikenakan, setiap individu juga bertanggungjawab untuk:

i. Mengisytiharkan semua pendapatan, potongan, pelepasan dan rebat cukai dengan jujur dan betul

ii. Menyimpan semua dokumen (salinan borang taksiran, resit-resit perbelanjaan untuk potongan, pelepasan dan rebat cukai, sijil perkahwinan, sijil perakuan doktor dan lain-lain) untuk tempoh 7 tahun daripada tahun taksiran

iii. Bersedia untuk diaudit oleh LHDN; LHDN berhak meminta anda untuk menghantar bukti-bukti resit dan sijil yang diisytiharkan dalam borang taksiran

Itulah sahaja 10 perkara penting berkenaan cukai pendapatan yang perlu diketahui.

Membayar cukai adalah cara untuk kita menyumbang kepada pendapatan negara, seterusnya kepada kemakmuran dan kesejahteraan kita semua.

Jadi, sebaik-baiknya janganlah mengelak atau lari daripada membayar cukai.

Untuk makluman lanjut berkenaan cukai pendapatan, boleh rujuk di laman web LHDN di http://www.hasil.gov.my/

Related post

Leave A Comment