5 Cara Ringankan Beban Kewangan Ibu Bapa

By: loanexpress0 comments

Di Malaysia, ibu bapa yang menanggung keperluan kewangan anak-anak adalah perkara biasa. Terdapat statistik yang menunjukkan bahawa 57% daripada ibu bapa di negara ini membelanjakan satu pertiga pendapatan boleh lupus mereka untuk anak-anak mereka yang sedang membesar. Namun begitu, apa yang akan berlaku jika keadaan tersebut diterbalikkan?

Walaupun Malaysia menduduki tangga keempat dalam menanggung anak-anak ke alam kedewasaan, negara ini juga merupakan negara kedua paling pantas berusia di dunia. Dalam kira-kira 25 tahun, negara ini akan menjadi negara berusia. Berdasarkan ramalan, golongan tua yang berusia 65 tahun dan ke atas akan bertambah kepada enam juta orang pada tahun 2040.

Sebelum menghulurkan bantuan, anak-anak perlu memikirkan keadaan kewangan mereka sendiri terlebih dahulu. Jika anda mempunyai dilema yang serupa, anda masih boleh mengatasinya dan memberikan bantuan yang amat diperlukan kepada ibu bapa anda.

Berikut adalah 5 cara untuk menghulurkan bantuan kewangan kepada ibu bapa anda.

1. Kenal Pasti Masalah Kewangan

Perkara yang paling penting adalah untuk mengetahui keperluan kewangan ibu bapa anda. Sebenarnya, apabila ibu bapa mohon bantuan kewangan daripada anda, itu adalah perkara yang baik. Jika tidak, anda perlu kenal pasti tanda-tanda kekangan kewangan mereka.

Apabila anda sudah ketahui punca masalah kewangan tersebut, maka adalah lebih mudah untuk anda tangani dan selesaikannya.

2. Bekerjasama untuk Bina Perancangan Kewangan

Selepas selesai langkah pertama, nilai dan senaraikan perbelanjaan bulanan ibu bapa anda untuk ketahui sama ada wang pencen atau pendapatan persaraan mereka adalah mencukupi. Mereka mungkin berbelanja lebih daripada apa yang mereka perolehi. Jika berlaku kekangan kewangan, berbincanglah dengan mereka untuk bina sebuah perancangan kewangan.

Jika anda mempunyai adik beradik yang boleh membantu, agihkan bil seorang satu atau kongsi duit belanja barang dapur untuk kurangkan beban kewangan. Apabila tanggungjawab telah diagihkan dengan jelas dan dipersetujui dengan nyata, maka ibu bapa anda tidak akan lagi meminta wang untuk keperluan asas mereka.

3. Galas Tanggungjawab Kewangan

Memandangkan anda telah mengetahui keadaan kewangan yang sebenar dan perbelanjaan mana yang perlu anda tanggung, maka galas tanggungjawab itu dengan sebaiknya. Daripada memberikan wang tunai kepada ibu bapa, bayar bil atau belikan barang dapur untuk mereka. Anda mahu pastikan wang tersebut disalurkan kepada tempat yang sepatutnya berdasarkan perancangan kewangan yang telah dipersetujui.

4. Sedia Dana Kecemasan

Sediakan payung sebelum hujan. Anda mungkin perlu berbelanja lebih daripada keperluan harian jika berlaku perkara yang mengejutkan. Oleh itu, anda boleh sediakan dana kecemasan untuk ibu bapa anda bagi menanggung perbelanjaan di luar jangkaan seperti bil perubatan dan lain-lain bentuk kecemasan.

Menyimpan wang, walaupun sedikit tetapi kerap, atau apabila mampu, boleh jadi penyelamat. Anda boleh gunakan simpanan tersebut untuk menanggung kos kecemasan yang pasti akan berlaku dari semasa ke semasa.

5. Elak Meminjam

Memperoleh pinjaman berfaedah tinggi seperti kad kredit untuk menampung perbelanjaan selepas bersara adalah tidak digalakkan. Perkara ini adalah untuk melindungi kedudukan kewangan anda dan ibu bapa anda daripada menambah beban kewangan yang tidak diperlukan.

Tambahan lagi, jika anda menandatangani sebagai peminjam bersama atau penjamin, anda perlu menggalas tanggungjawab untuk membayar semula pinjaman tersebut jika ibu bapa anda meninggal dunia. Baca artikel kami tentang apa yang akan terjadi pada pinjaman anda sekiranya anda mati awal.

Laksanakan Komitmen Anda

Adalah amat mencabar untuk individu yang membantu ibu bapa yang mengalami kesusahan dari segi perbelanjaan. Bila anda bersetuju untuk menghulurkan bantuan kewangan kepada ibu bapa anda, ini bermaksud anda sudah bersedia untuk melaksanakan komitmen anda. Anda harus terima hakikat bahawa ini adalah tugas yang berterusan.

Namun begitu, jika anda sudah berkahwin, pasangan anda harus tahu mengenai perancangan ini. Jangan sesekali rahsiakan daripada mereka. Pastikan pasangan anda bersetuju untuk anda berikan wang kepada ibu bapa. Sebuah pasangan boleh asingkan sebahagian daripada wang mereka untuk memberikan kepada ibu bapa.

Ajaran membalas jasa ibu bapa atau menghormati serta menjaga mereka merupakan cara hidup orang Asia yang masih diteruskan. Apabila sudah tiba masanya, anak-anak yang sudah dewasa perlu menghulurkan bantuan kewangan sekurang-kurangnya untuk keperluan asas kehidupan. Ada kalanya, ibu bapa tidak kisahkan jumlah wang, tetapi lebih menghargai perbuatan ikhlas anak-anak yang sedia membantu.

Related post

Leave A Comment