5 Tips Mudah Didik Anak Menyimpan Duit

By: loanexpress0 comments

Menyimpan wang adalah sesuatu yang mudah untuk diperkatakan, tapi sukar untuk dilakukan. Membentuk sifat rajin menyimpan itu adalah sukar, terutamanya jika anda mempunyai wang yang terhad selepas berbelanja untuk keperluan harian dan membayar bil. Lagi sukar jika anda mempunyai anak kerana anda perlu menyimpan bukan hanya untuk diri anda, tapi untuk mereka juga.

Jika anda ingin pastikan mereka berada di landasan kebebasan kewangan, ajarkan mereka cara-cara untuk menyimpan. Bantu mereka menggunakan beberapa idea untuk menyimpan. Lama-kelamaan, mereka akan belajar untuk membina asas kewangan pada masa hadapan.

1. Didik dari Kecil

Memberikan pendidikan kewangan kepada anak anda boleh bermula dari kecil. Kanak-kanak perlu mempelajari nilai, tujuan, dan kegunaan wang sepanjang mereka membesar. Biar mereka tahu apabila anda simpan wang untuk mereka. Jangan risau kalau nilainya kecil. Kita mahu ajar anak-anak bahawa sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

Contohnya, jika anda simpan RM275 semenjak mereka dilahirkan, simpanan tersebut akan mencecah RM82,500 apabila mereka berusia 25 tahun. Ini belum lagi termasuk faedah dan pendapatan.

Sama ada simpanan tersebut adalah simpanan biasa atau akaun simpanan tetap dan Skim Prihatin Pendidikan 1 Malaysia (SSP1M), terangkan kepada mereka bagaimana simpanan masa hadapan tersebut akan berkembang dalam setiap akaun.

2. Didik untuk Berusaha

Ingatkan anak-anak bahawa wang tidak tumbuh di dahan pokok. Kita perlu bekerja untuk mendapat wang. Mereka boleh dapatkan pengalaman bekerja untuk wang dengan melakukan kerja-kerja rumah. Berikan mereka upah berbentuk wang apabila mereka lakukan kerja rumah mudah seperti mengemas bilik atau menyiram bunga.

Anda sedang menyemai sifat rajin dalam diri anak anda apabila anda menawarkan sedikit upah untuk kerja yang dilakukan dengan baik. Mereka boleh tambah wang tersebut kepada simpanan daripada wang belanja sekolah.

Tetapi, jangan keterlaluan sehingga perkara tersebut menjadi tabiat dimana mereka akan meminta-minta upah setiap kali mereka menyiapkan sesuatu kerja.

3. Didik untuk Belanja dengan Berhemah

Selain daripada menyimpan dan berusaha, ajarkan juga anak anda cara yang berhemah untuk membelanjakan wang mereka. Jika anak anda ingin membeli sesuatu, galakkan mereka simpan wang untuk dapatkannya. Mereka patut tahu yang wang adalah sumber yang akan lupus apabila digunakan.

Apabila anak anda lihat sendiri simpanan mereka berkurangan selepas dibelanjakan, mereka akan belajar pengurusan kewangan dan lakukan perancangan rapi sebelum melakukan pembelian seterusnya.

Selain itu, ini akan ajar mereka mengenai perihal penjimatan di rumah. Jadilah contoh terbaik dengan menutup lampu apabila tidak digunakan atau jimatkan air. Ini supaya mereka tahu yang setiap penjimatan di bil adalah peluang untuk menyimpan lebih wang.

4. Didik Mereka tentang Pinjaman

Andai kata anak anda tidak cukup wang untuk membeli sesuatu yang istimewa, pinjamkan wang kepada mereka dengan syarat mereka akan membayarnya dalam tempoh tertentu. Ini adalah waktu yang amat baik untuk memperkenalkan konsep pinjaman dan kepentingan membayar semula wang kepada pemberi pinjaman.

Terangkan kepada mereka yang jika peminjam tidak boleh membayar semula pinjaman, mereka akan didenda atau disekat daripada meminjam. Anda juga boleh memberitahu mereka yang mereka perlu ada sebab yang jelas untuk meminjam. Anak-anak juga wajar diajar mengenai perbezaan hutang baik dan hutang buruk.

5. Didik Mereka tentang Pelaburan

Anak-anak harus tahu yang wang tidak akan bertambah melainkan wang tersebut dilaburkan. Ajarkan mereka tentang keperluan pelaburan untuk menjamin masa hadapan. Pelaburan boleh jadi dalam pelbagai bentuk seperti saham, bon, insurans, ataupun aset kukuh seperti hartanah.

Insurans, contohnya, merupakan simpanan tetap kerana bayaran premium yang perlu dikemaskini bagi memastikan keberkesanan polisi. Pelaburan hartanah di Malaysia merupakan pilihan terbaik memandangkan nilai hartanah yang kian lama kian meningkat.

Membina Asas

Dengan mendidik anda cara yang betul untuk jimatkan wang, anda sebenarnya sedang menyiapkan mereka untuk menjadi seorang yang pandai menguruskan serta bertanggungjawab dalam perihal kewangan. Mereka amat bertuah jika mereka mempunyai ibu bapa yang mempunyai masa untuk mendidik mereka tentang kepentingan wang sewaktu mereka sedang membesar.

Kami berharap anda boleh mempraktikkan cara-cara mudah ini agar anak-anak dapat faham kepentingan pengurusan kewangan apabile dewasa nanti. Pendidikan ini akan dibawa sehingga ke hari dewasa dan memasuki dunia arus perdana di Malaysia.

Related post

Leave A Comment