6 Cara Kumpul Duit Kahwin

By: loanexpress0 comments

Sesungguhnya keinginan untuk berpasangan adalah fitrah manusia, maka ia adalah penting untuk membuat persediaan perkahwinan terutamanya dari segi kewangan. Ramai yang telah berkongsi pengalaman bagaimana mereka berjaya mengumpul duit dalam jumlah yang besar untuk majlis perkahwinan mereka. Berbekalkan pengalaman daripada mereka, terhasilnya artikel ini. Semua tips yang terbukti berhasil telah dirangkumkan menjadi satu. Semoga bermanfaat untuk semua!

1. Tetapkan matlamat, ketahui kemampuan diri

Perkara pertama anda mesti buat adalah ketahui berapa jumlah yang anda perlukan untuk majlis perkahwinan anda. Bincangkan dengan ahli keluarga kedua-dua belah pihak mengenai majlis yang diinginkan. Inilah masa untuk anda analis dan berterus-terang tentang kemampuan diri. Kos perkahwinan bergantung sepenuhnya kepada jenis hantaran, pelamin, baju pengantin, mak andam, jurugambar, serta katering.

Oleh itu, penting untuk mengukur baju di badan sendiri. Jangan hanya kerana terlalu mengikut trend atau menjaga hati orang lain, anda pula yang menanggung beban di kemudian hari. Jika anda akan berkahwin dua tahun lagi dengan sasaran RM20,000, maka setiap bulan anda perlu menyimpan kira-kira RM833. Kalau tempohnya lebih singkat tentulah lebih besar lagi jumlah tabungan dalam sebulan.

Sekali lagi, analisis kemampuan diri. Anda boleh kurangkan kos dengan mengutamakan syaratnya iaitu nikah dan boleh ditambah dengan jamuan makan sederhana sahaja. Jika mahu pelamin, cuba dapatkan idea pelamin DIY yang lebih jimat kosnya tapi tetap cukup menarik untuk mengambil gambar kenangan bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

2. Tambah motivasi, menabung bersama

Ajak pasangan untuk sama-sama menabung bagi merealisasikan impian anda berdua. Tidak perlu menyimpan dalam akaun atau tabung yang sama. Masing-masing boleh bina tabung sendiri atau buka akaun berasingan. Jumlah sasaran pun boleh sama atau sebaliknya.

Kalau anda berdua mahu berkongsi perbelanjaan perkahwinan, cuba bahagi mengikut pendapatan masing-masing. Bakal suami yang ada pendapatan lebih tinggi, contohnya, boleh menyumbang lebih ke dalam tabung perkahwinan.

Menabung bersama akan meningkatkan motivasi diri sebab anda mengejar matlamat bersama insan tercinta. Ini boleh diteruskan sehingga semasa bergelar suami isteri.

Menariknya kalau wang simpanan tidak habis digunakan untuk majlis, bolehlah anda gunakannya untuk keperluan rumahtangga selepas itu.

3. Simpan dulu, belanja kemudian

Bila dapat gaji, ketepikan terlebih dahulu wang untuk simpanan. Simpan sekurang-kurangnya 20% daripada gaji anda. Lebih banyak, lebih baik. Kita panggil ini sebagai simpanan paksa. Maksudnya, tiada alasan diterima untuk membelanjakannya. Nak tak nak, anda tidak boleh guna 20% itu. Selepas ditolak dengan perbelanjaan, bakinya bolehlah dimasukkan juga ke dalam tabung. Pengiraannya begini,

PENDAPATAN – PERBELANJAAN = SIMPANAN

Masukkan ia ke dalam akaun bank berasingan atau akaun yang susah untuk anda keluarkan duitnya. Dengan kata lain, sembunyikan sahaja kad ATM anda.

Ada yang memilih untuk menyimpan di dalam tabung setiap hari. Contohnya seperti yang dikongsikan oleh Shaa Ismail yang telah mengumpul hampir RM12,000 bersama tunangnya dengan menggunakan kaedah simpanan seperti ini: RM1 pada 1 haribulan, RM2 pada 2 haribulan, RM3 pada 3 haribulan dan seterusnya sehingga 31 haribulan.  Akhirnya, anda akan dapat menyimpan hampir RM500 sebulan.

Jika tidak mampu kumpulkan jumlah itu, amalkan tabiat menabung setiap hari walaupun bukan dalam nilai tersebut. Yang penting, simpan. Ataupun

jika anda ingin menyimpan di dalam bank, pilihlah bank dengan kadar dividen yang tinggi, sekiranya ada. Kalau ada akaun yang susah untuk dikeluarkan pun lebih baik seperti Amanah Saham atau Tabung Haji. Selain simpanan tidak diganggu, dividen pun anda dapat.

4. Kurangkan perbelanjaan, tambahkan penjimatan

Syarat kumpul duit dalam jumlah yang banyak mestilah dengan mengurangkan perbelanjaan. Belajarlah untuk menangguhkan kehendak. Utamakan keperluan terlebih dahulu. Bezakan yang mana keperluan, yang mana kehendak. Antara contoh kehendak adalah membeli baju kerana hendak mengikuti trend terkini. Percayalah, ia tak akan berkesudahan.

Jimatkan juga perbelanjaan lain seperti makanan dan pengangkutan. Mungkin anda boleh menaiki pengangkutan awam atau berkongsi kenderaan di mana anda boleh berkongsi kos minyak.

Sebelum beli sesuatu, cuba bandingkan harga. Cari nilai terbaik untuk barang yang anda hendak beli. Biasanya anda akan jumpa barang yang serupa pada harga yang amat berbeza tanpa sedikit pun berkurang kualitinya.

Satu lagi cara adalah dengan berbelanja semasa jualan murah atau ketika promosi. Tapi hati-hati. Jangan sampai terlebih beli pula. Gunakan kupon jika ada. Ini betul-betul menjimatkan walaupun hanya beberapa ringgit sahaja perbezaan bagi satu barang.

5. Jangan buat pinjaman, jangan tambah hutang

Ramai orang silap apabila mereka memilih jalan singkat dengan membuat pinjaman bagi tujuan perkahwinan. Akibatnya, banyak kes di mana mereka terpaksa menanggung beban hutang dalam jangka masa panjang sehingga menjejaskan perkahwinan.

Sekiranya anda tidak mempunyai dana di tangan dan perlu memohon pinjaman hanya untuk tujuan perkahwinan. Mungkin anda perlu kurangkan kos kahwin atau tangguhkan perkahwinan sehingga anda yakin semuanya cukup. Apa yang penting, jangan letakkan diri dalam risiko yang sebenarnya boleh dielakkan.

Begitu juga jika anda ada hutang jangka pendek seperti kad kredit atau hutang-hutang serupa yang lain. Inilah juga masa terbaik untuk berhenti menggunakan kad kredit, lebih-lebih lagi jika anda mempunyai tabiat berbelanja melebihi kemampuan diri.

6. Cari pendapatan sampingan

Pada masa kini, seramai 79% Milennial ingin jana ‘duit tepi’ untuk menampung kos hidup yang lebih tinggi. Jadi, ramai orang mengorbankan masa mereka untuk menambah pendapatan bagi melancarkan urusan. Contoh kerja yang boleh dilakukan pada masa lapang adalah seperti jadi penghantar makanan, buat food review di YouTube, jadi penterjemah, dan lain-lain.

Inilah juga yang selalu dicadangkan oleh mereka yang berhasrat untuk mengumpul duit bagi tujuan perkahwinan. Selain simpanan daripada pendapatan utama, pendapatan sampingan boleh bantu mempercepatkan proses untuk mencapai matlamat tabungan anda. Ia memang memakan masa dan tenaga tetapi amat berbaloi untuk dilakukan.

Kesimpulan

Mengumpul duit untuk perkahwinan bukanlah sesuatu yang mudah, namun dengan usaha dan disiplin yang tinggi, ia dapat direalisasikan. Perkahwinan merupakan hari yang istimewa, namun ini tidak bermakna ia perlu dilakukan secara mewah. Cukup sahaja dengan penyatuan dua jiwa yang berjanji meneruskan kebahagiaan bersama dalam susah dan senang.

Related post

Leave A Comment