Apakah itu Peraturan Belanjawan 50/30/20?

By: loanexpress0 comments

Setiap orang perlukan perancangan untuk mencapai matlamat kewangan jangka masa panjang. Jika anda rasa melakukan perancangan kewangan itu satu perkara yang renyah, anda boleh lakukan perancangan ringkas. Antara cara yang berguna dalam merancang kewangan adalah peraturan belanjawan 50/30/20.

Peraturan ini tidak memerlukan perancangan terperinci. Anda cuma perlu asingkan peratusan wang anda kepada keperluan, kemahuan dan simpanan. Jika anda ikut peraturan ini dengan betul, maka peluang anda untuk mencapai objektif kewangan anda adalah tinggi.

Pendukung Peraturan

Individu yang mendukung peraturan 50/30/20 adalah Senator Amerika Syarikat, Elizabeth Warren. Dia sebenarnya sudah menulis buku berkaitan kewangan sebelum dipilih menjadi senator. Pada tahun 2005, dia menulis buku “All Your Worth: The Ultimate Money Plan” di mana peraturan ini telah diperkenalkan. Bukunya terjual dengan begitu laris dan peraturan tersebut telah menjadi amalan kewangan peribadi yang terkenal.

Konsep Asas

Menurut Senator Warren, peraturan asas adalah untuk membahagikan pendapatan selepas-cukai seperti peruntukan berikut:

  1. 50% untuk keperluan asas 

  2. 30% untuk kehendak, kemewahan atau keinginan 

  3. 20% untuk simpanan atau bayaran balik hutang 


Jika dilihat, peruntukan kewangan untuk perbelanjaan santai seperti membeli-belah, bermewah dan bercuti adalah agak tinggi. Namun begitu, peraturan ini tidak menggalakkan perbelanjaan tidak berhemah. Sebaliknya, peraturan ini menekankan keperluan untuk sentiasa menyimpan dan menguruskan kewangan dengan baik.

Pelaksanaan

Katakan pendapatan selepas cukai anda adalah RM3,000 dan anda mengikut kaedah yang diperkenalkan oleh Warren, maka peruntukan kewangan anda boleh jadi seperti berikut. Anda boleh membelanjakan 50% atau RM1,500 untuk keperluan seperti sewa atau gadai janji, kenderaan, barangan dapur, insurans dan sebagainya. Namun begitu, jumlah peruntukan ini harus selari dengan kos keperluan bulanan anda.

Lagi 30% atau RM900 daripada wang tersebut digunakan untuk kegunaan bebas seperti keahlian gim, makan di luar, keahlian Netflix dan lain lain. Baki 20% atau RM600 pula harus disimpan atau digunakan untuk menyelesaikan hutang. Ini termasuklah wang simpanan kecemasan, pelaburan skim persaraan atau pelaburan akaun Amanah Saham (ASB).

Walaupun peruntukan untuk simpanan adalah lebih kecil berbanding yang lain, namun ini adalah peruntukan yang paling penting dalam perancangan kewangan. Warren percaya bahawa simpanan yang kecil adalah lebih baik berbanding dengan tidak mempunyai simpanan langsung.

Tambahan lagi, jika anda gunakan duit tersebut untuk menyelesaikan hutang, anda sebenarnya sedang membuka peluang kewangan kepada diri anda. Warren juga menyatakan bahawa bukan semua hutang akan membebankan masa hadapan anda. Hutang seperti pembelian rumah, kereta dan pinjaman pelajaran adalah hutang yang baik kerana anda akan memperoleh faedah daripadanya pada masa depan.

Manakala kad kredit dan pinjaman habis bulan tidak akan memberikan anda sebarang aset. Malah, hutang sebegini, jika terkumpul, akan menyebabkan hutang buruk yang menggunung. Perkara ini akan meningkatkan risiko bankrupsi.

Garis Panduan Umum

Adakah peraturan 50/30/20 ini langkah terbaik yang akan membawa anda kepada kedudukan kewangan yang kukuh? Peraturan Warren hanyalah garis panduan umum untuk memudahkan proses perancangan. Anda tidak perlu kira setiap sen. Anda hanya perlu kekalkan peruntukan dan tidak perlu terlalu teliti dengan setiap satunya.

Segelintir penasihat kewangan lebih cenderung kepada peraturan simpanan 10%, sebuah model simpanan yang wujud sejak zaman 1920-an. Peraturan ini menyeru untuk simpan sekurang-kurangnya 10% daripada jumlah pendapatan sebagai dana persaraan. Peraturan ini mungkin tidak boleh diguna pakai pada zaman ini.

Ini kerana pada zaman dahulu, kebanyakan masyarakat tidak hidup melebihi 60 tahun. Pada tahun 2020, kadar jangka umur di Malaysia adalah 76.22 tahun. Dengan kadar hidup yang lebih tinggi, simpanan sebanyak 10% sebulan adalah tidak mencukupi. Simpanan persaraan anda mungkin akan habis sebelum tamatnya riwayat anda.

Keselesaan Hari Esok

Salah satu cabaran besar untuk keluarga dan individu makan gaji di Malaysia adalah menyediakan perancangan kewangan. Peraturan 50/30/20 adalah mudah tapi tidak semestinya berkesan. Anda boleh ubah peraturan tersebut dan laraskan peruntukan mengikut kesesuaian anda.

Anda juga boleh cipta peraturan anda sendiri, tiada masalah dengan itu. Kejayaan sebarang perancangan kewangan bergantung kepada pelaksanaan. Aspek yang lebih penting adalah untuk simpan sebanyak mungkin, jika boleh, untuk keselesaan hari esok.

Related post

Leave A Comment