Resolusi Kewangan 2020

By: loanexpress0 comments

Sudah ada resolusi kewangan peribadi 2020 ?

Salam hebat luar biasa semuanya.

Di awal tahun baru 2020 ini saya nak kongsikan 10 resolusi kewangan peribadi untuk tahun ini yang boleh sama-sama kita laksanakan.

1. Perbaharui matlamat kewangan

Jika matlamat kewangan yang kita rancang sebelum ini tidak berada dalam landasan yang sepatutnya, kita perlu buat sedikit perubahan supaya ia masih dapat dicapai.

Mungkin kita perlu tukar tempoh masanya, mungkin kita perlu tambah atau kurangkan nilai matlamat akhirnya, atau mungkin kita perlu tukar cara untuk mencapainya, bergantung pada keadaan semasa.

Untuk baca tentang matlamat kewangan boleh klik https://tipsringgit.com/apa-itu-matlamat-kewangan/.

2. Baca buku kewangan

Tanamkan azam untuk membaca sekurang-kurangnya satu buku berkenaan kewangan sebulan. Saya percaya ia akan memberikan kita ilmu baru seterusnya menjadikan kita lebih bijak dalam menguruskan wang.

3. Mulakan simpanan

Simpanlah. Kerana asas dalam pengurusan kewangan ialah menyimpan. Tiada simpanan, tiadalah peluang untuk kita melabur. Bila tiada peluang untuk melabur, tiadalah matlamat atau impian besar yang dapat dicapai. Kerana setiap impian tersebut memerlukan wang untuk menggapainya kan.

4. Hapuskan 1 hutang jahat.

Jika dapat hapuskan kesemua hutang jahat yang kita ada sekarang, itu lagi bagus. Tapi sebelum nak hapuskan semua, kenalah hapuskan satu dahulu kan.

Hutang jahat mengikis harta dan semakin mengurangkan nilai ringgit kita dan ia lebih jahat dari inflasi. Haha (gelak jahat).

5. Mula tambah pendapatan

Menambah pendapatan boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Antaranya ialah dengan menjual sesuatu, menawarkan atau mengambil upah untuk servis tertentu atau membuat kerja tambahan.

Tapi ia memerlukan kita menggunakan masa yang lain selain dari masa yang telah kita peruntukkan untuk kerja hakiki kita. Walaubagaimanapun, kalau kita pandai bahagikan masa, pasti kita dapat lakukannya.

6. Mula melabur

Tujuan kita melabur ialah untuk memenuhi matlamat jangka sederhana dan panjang kita. 3 matlamat utama tersebut ialah:
1. Tunai haji.
2. Penuhi tabung persaraan.
3. Penuhi tabung pendidikan anak-anak.
Tujuan lain kita melabur ialah untuk melawan kenaikan inflasi.

Nak melabur apa ? Belajar atau menuntutlah dari yang pakar atau yang tahu. Kalau perlu pergi kelas, pergilah. Kalau perlu pergi seminar, berseminarlah. Kalau perlu berlaga lutut, berlagalah. 🙂

7. Belajar perkara baru

Mula belajar perkara baru yang sebelum ini kita tak tahu untuk selesaikan dan menyebabkan wang kita melayang. Contohnya ialah belajar tentang cara tukar soket dirumah. Jika kita pandai buat sendiri. Ia hanya memerlukan kos beberapa ringgit saja. Tapi jika kita upah orang lain atau tukang elektrik, sudah tentulah kita kena bayar kos yang lebih tinggi. Contoh lain ialah belajar tukar tombol pintu, belajar tukar lampu, belajar tukar kipas dan lain-lain.

8. Beli 1 rumah pelaburan

Tak kisahlah lelaki atau wanita, kita mesti ada sekurang-kurangnya 1 rumah yang kita beli atas nama kita. Dan untuk memulakannya, mulalah dengan membeli 1 rumah untuk pelaburan supaya ia dapat menjana pendapatan tambahan.

Tapi ingat, jangan tersilap beli rumah yang pertama.

9. Buat senarai sebelum berbelanja

Ia dapat mengelakkan kita dari membazir untuk perkara yang tidak sepatutnya kerana kita sudah merancang apa yang perlu dan patut kita beli semasa kita keluar berbelanja.

10. Sentiasa ingat bahawa wang adalah amanah dari ALLAH

Di akhirat nanti kita akan ditanya :
1. Dari mana kita mendapatkannya ?
2. Kemana ia dibelanjakan atau digunakan ?

Sekian perkongsian kali ini, marilah kita melaksanakan semua resolusi atau manifesto kewangan peribadi kita.

#TipsRinggit

Related post

Leave A Comment